Aku tatap matanya yang sayu. Linangan jernih perlahan menuruni pipi. Segera kuseka. Menjadi kuat adalah wajib pada ketika ini. 

"Anggrek, sudahlah. Teguhkan hatimu." 

Tiada jawapan. Matanya masih sayu. Petanda letusan sebuah kesedihan. 

"Mengapa begitu? Salahkah Anggrek cuba menghalang dia pergi, hilang dan mungkin tidak kembali?"

Berat sekali aku hendak membalas. Gadis ini sedang dibungkam kesedihan. Gadis ini masih muda untuk memahami erti sebuah kehilangan. Hatinya mungkin akan lebih terluka dengan kata-kataku nanti. Diam adalah yang terbaik pada saat ini. 

"Mengapa tidak kau jawab, Anim? Apa fikirmu sama seperti dia? Bahawa kehilangan itu sebuah adat kehidupan? Jika benar ia adat sebuah kehidupan, apa tidak bisa aku melanggarnya? Memecahkan adat kebiasaan!" 

Suara Anggrek kedengaran lebih tinggi. Aku cuma mampu memandangnya tanpa sebarang reaksi. Tidak tercari sebarang ayat sesuai pada ketika ini. Hati yang sedang kesedihan umpama dihalangi batu yang besar. Tidak bisa melihat hikmah atau logik kejadian. Maka itu aku memilih diam. Diam sebagai penenang, untuk waktu ini. Diam yang diiringi doa, moga Anggrek kembali jelas melihat kehilangan ini dari sudut yang lain. Sudut yang lebih positif hendaknya. 


Comments

Popular posts from this blog