Sedekad. 

Aku tak tahu hendak salahkan siapa. Atau siapakah di antara kami yang layak untuk dipersalahkan. Aku cuba bertenang. Keadaan begini benar-benar menguji kesabaran dan keimanan. Sekiranya tidak sabar, aku pasti persahabatan selama sedekad ini akan berakhir begitu sahaja. Lama kami diamkan diri. Diam untuk mengelakkan sebarang pertengkaran rumit daripada berlaku. Ruang di dalam kamar tamu ini terasa semakin sempit. Kami seolah-olah diasak, sesak rasanya. 

Lima minit, sepuluh minit, lima belas minit. Tiada yang bersuara. 

"Sampai bila kita nak diam? Aku rasa diam tak akan membantu kita selesaikan hal ni." Serak. Suara Lily kedengaran begitu serak. Jarang sekali suaranya kedengaran begitu. Keserakan suaranya mematikan lamunan kami. 

"Aku tak tahu. Aku tak ada jawapan untuk masalah ni." Perlahan sahaja aku membalas kata-kata Lily. Aku bukan sengaja. Tapi sesungguhnya, tiada sebarang jawapan tepat di benakku pada ketika ini. Segalanya kabur. 

"Baik kita berpisah sahaja. Bawa hala tuju masing-masing. Semua ini salah aku. Biar aku tanggung. Aku tak nak libatkan sesiapa." Akhirnya, dia bersuara. Dia yang merupakan punca kepada masalah kami pada hari ini. Dia yang bertentangan gender, tapi sudah kami anggap sahabat sejati. 

Diam. Suasana hening seketika. Masing-masing kembali melayan perasaan. Atau berfikir ayat balas paling tepat. 

"Bukan sekejap. Sedekad kita bergelar sahabat. Daripada zaman persekolahan sampai sekarang. Aku tahu hal ini berat untuk kita bertiga. Tapi, aku tak akan tinggalkan kau begitu saja." Lily bersuara. Aku hanya mendengar. Sebak bertandang di hati. Persahabatan ini terlalu berharga. 

"Aku pun rasa hal yang sama. Masalah ni tak akan selesai kalau kami tinggalkan kau. Kami dah terlibat sama, jadi sampai ke akhir kita akan selesaikannya." Aku mengumpul kekuatan. Aku cuba nyatakan pendapat sebaik mungkin. Ada hati yang perlu dijaga, ada kecewa perlu dikawal. 

"Aku minta maaf." Sebaris ayat maaf dari seorang sahabat.  

Comments

Popular posts from this blog