Sedekad II.

Percutian yang dirancang selama ini sudah bertukar menjadi persidangan tidak rasmi. Kami berusaha mencari jalan penyelesaian. Puas kami fikirkan. Namun segalanya bertemu jalan buntu. Akhirnya persidangan ini bertukar menjadi sebuah acara kenang mengenang. Pelbagai kisah lucu diceritakan semula. Ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan yang ada. 

"Kau ingat tak, dulu Anne selalu mengamuk. Ada saja benda nak diamukkannya. Tak faham aku." Rey mula membuka cerita. Bersungguh benar gayanya. 

"Mestilah ingat. Anne memang macam tu." Lily bersetuju dengan kenyataan Rey. Semakin galak mereka bercerita tentang aku. Aku hanya diam dan ketawa kecil. Aku tak salahkan mereka kalau itu yang terpahat di ingatan. Aku memang begitu, gemar mengamuk tanpa alasan. Barangkali aku ada isu kemarahan semasa remaja. 

"Diam saja Anne. Menyerah kalah ke?" Rey mengusik. 

"Aku malas nak cakap banyak. Banyak aib kau Rey yang aku simpan. Kau pun sama Lily, sedap gelakkan orang ya." Mereka hanya ketawa mendengar ugutanku. Mereka tahu aku hanya bercanda. Sama sekali tidak serius untuk menceritakan aib mereka. Merekalah sahabatku. Ada ketika susah dan senang, masakan aku tegar buat begitu. Disebabkan mereka kugelar sahabat, maka kami masih mampu bergurau begini setelah apa yang terjadi. Sayang tiada tara, persahabatan ini lebih berharga. 

"Sedekad. Lama juga ya kita berkenalan." Tuturku perlahan. Mereka berdua berpaling ke arahku. Serius sekali wajahnya. 

"Ya, sedekad." Perlahan juga balas Rey kepadaku. Nadanya menyimpan seribu satu rasa. 

"Hingga hujung nyawa." Mereka tersentak. Aku ulang sekali lagi. "Hingga hujung nyawa." 

"Janji?" Kata Lily. Sebak benar suaranya. 

"Janji." 


Comments

Popular posts from this blog